Ahad, 14 Mac 2010

Kepahitan Datang Untuk Menguji

Assalamu'alaikum!

Saudaraku yang dikasihi, pembaca blogku ini.

Di dalam kehidupan yang sedang kita layari ini, sentiasa akan kita temukan kemanisan dan kepahitannya. Kebiasaannya yang manis akan kita kenangi dan merasa bahagia untuk terus mengenanginya. Dengan mengenanginya kita merasakan kehidupan ini berbaloi untuk diteruskan. Dan kita sentiasa berharap bahawa kenangan manis itu akan berulang lagi dan lagi.

Namun disamping kenangan manis itu ada juga kenangan yang pahit yang sentiasa akan menjadi seumpama duri yang menyucuk-nyucuk kepingan-kepingan hati kita. Sehingga ternyata lebih kerap kita mengenanginya lebih dalam pula menjalarnya luka itu di dalam lubuk hati kita. Sehingga kadangkala kita hampir rebah dan tidak lagi mampu untuk berdiri.

Pada saat yang sedemikian hati kita harus mencari penguatnya. Penguat yang tidak akan ada kelemahan pada dirinya. Penguat yang bisa kita jadikan tempat bergantungnya segala harapan dan cita-cita. Penguat itu tidak lain dan tidak bukan ialah Maula (Tuan Yang Memelihara) kita yang maha mendengar setiap detik suara hati kita. Yang maha mengetahui setiap hikmah pada berlakunya segala kejadian baik yang manis mahupun yang pahit yang menimpa diri kita di sepanjang jalan hidup kita. Ini ialah kerana Tuhan Yang Maha Penyayang itu tidak pernah sekali-kali akan membiarkan hamba-hambaNya ditimbus kepahitan yang tidak berpenghujung. Tidakkah pernah kita terbaca firman suciNya yang berbunyi "Dia yang menyahut seruan hambaNya yang teraniaya"?

Saudaraku,

Setiap apa yang mendatangi kehidupan kita sememangnya datang dari sisiNya walau apa jua bentuknya sekalipun samada yang manis mahupun yang pahit. Sebagai makhluk yang bernama manusia yang bakal dihidupkan semula di alam yang akan datang iaitu alam Akhirat kita sudah pasti akan di datangi ujian yang menerusinya akan ditentukan kedudukan kita pada hari itu. Pada ketika kita bergelut dengan segala pancaroba dunia ini kita akan bisa melihat hati kita, ke arah mana qiblatnya pada saat itu. Apakah hati kita sentiasa akan terus mengingatiNya dan memulangkan segala keresahan kita kepadaNya. Mengadu dan berbisik-bisik kepadaNya pada sebilang waktu. Bersangka baik kepadaNya dengan membisikkan pada hati, "Wahai diri! Bahawa segala kepahitan ini Dia amat mengetahui tentangnya, Dia amat tahu akan kemampuan mu di dalam menanggungnya sehingga pasti Dia tidak akan menduga mu dengan suatu dugaan yang di luar batas kemampuan mu. Wahai diri! Sungguh tentu ada hikmah yang tidak kamu mengerti tentangnya di dalam turunnya kepahitan ini. Wahai diri! Ingatilah namaNya, kemurahanNya, kebaikanNya kepadamu selama ini. Dan seketika ini Dia hanya ingin menduga mu dengan secebis kepahitan duniawi yang tidak seberapa. Yang tidak seberapa jika hendak dibandingkan dengan curahan nikmatNya ke atasmu sejak sekian lama dan lagi himpunan keampunan dan lautan nikmat syurgawi yang menantimu di alam yang satu lagi. Oleh yang demikian wahai diri maka bersabarlah kamu."